NGO: Hentikan sentimen “Sarawak Darul Hana”

Signature. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 6 Dis: Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menggesa agar segera dihentikan sentimen mengaitkan nama Sarawak yang baharu sebagai “Sarawak Darul Hana”.

“Ia adalah satu cubaan pihak tidak bertanggungjawab yang bersifat perkauman dan keagamaan yang tidak pernah dipersetujui oleh semua kaum.

“Kami, pertubuhan bukan kerajaan, membantah sekeras-kerasnya tindakan beberapa pihak yang suka mengelirukan rakyat ini,” menurut kenyataan bersama NGO-NGO terbabit.

Kelima-lima NGO itu ialah Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS), Kongress Kebangsaan Dayak (DNC), Persatuan Iban Sarawak (PAIS), Persatuan Balang Balai Nyabong (BBN) dan Persatuan SADIA Cawangan Miri.

Menurut kenyataan itu lagi, penggunaan nama ‘Darul Hana’ bagi Sarawak adalah tidak tepat kerana sejak penubuhan kerajaan moden Sarawak pada tahun 1841, nama ‘Darul Hana” tidak pernah digunakan sehingga sekarang.

“Sejak penubuhan Malaysia, urus tadbir Sarawak adalah berteraskan persetujuan semua kaum.

“Oleh itu adalah tidak wajar sama sekali dan merugikan bagi sesetengah parti seperti PAS (Parti Islam Se-Malaysia) dan pihak parti kerajaan Sarawak untuk mengganggu ketenteraman kaum dan agama dengan menggunakan perkataan “Darul Hana” bagi Sarawak,” menurut NGO-NGO tersebut.

Dalam pada itu, NGO-NGO ini menggesa PAS agar lebih teliti dalam pengetahuan sejarah Sarawak disamping rujukan sejarah harus tepat dan tujuannya mempromosikan kebaikan semua.

Ujar mereka, belum pernah secara rasmi dalam badan perundangan di Malaysia mengiktiraf Sarawak sebagai “Sarawak Darul Hana”.

“Dan untuk mengubah entiti itu tidak pernah dipersetujui sejak Sarawak diisytiharkan sebagai rakan kongsi penubuhan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63).

“Ini juga dilihat sebagai percubaan untuk mengubah identiti Sarawak dari negeri sekular kepada negeri berteras keagamaan dan tidak pernah ada persetujuan untuk tindakan tersebut,” kata mereka lagi.

Menerusi kenyataan bersama itu, DTTAS diwakili timbalan presiden Edward Awan, DNC (presiden Paul Raja), PAIS (presiden Samuel Suring), BBN (presiden Mengga Mikui) manakala Sadia Miri diwakili setiausahanya Rafael Dru. — DayakDaily