Harga LPG Petros lebih rendah, Fazzrudin gesa Chong buat semakan

Fazzrudin ketika ditemui di Kuching hari ini (6 Dis, 2020).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 6 Dis: Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen digesa membuat semakan terlebih dahulu berhubung dakwaan beliau bahawa gas petroleum cecair (LPG) Petros sepatutnya dijual dengan harga lebih rendah daripada RM26.60 satu tong.

Gesaan itu disuarakan Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman yang turut menyifatkan Chong tidak berkerja semasa menjawat jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dahulu.

“Beliau adalah bekas timbalan menteri KPDNHEP, LPG adalah barangan terkawal yang diberi subsidi oleh kerajaan persekutuan dan telah ditetapkan harga untuk dijual kepada masyarakat.

“Jadi beliau (Chong) ingin mewujudkan sentimen bahawa mereka memperjuangkan hak rakyat dengan ia sepatutnya dijual dengan harga yang lebih rendah lagi.


“Tetapi walhal, beliau tahu sistem ataupun tidak tahu kerana semasa beliau menjadi timbalan menteri beliau tidak berkerja, mungkin itulah sebabnya.

“Maka saya cadangkan kepada Chong, mungkin boleh menghubungi pegawai-pegawai di KPDNHEP untuk mendapat taklimat berhubung perkara itu sebelum membuat kenyataan,” kata Fazzrudin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Agihan Sumbangan Prihatian Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Mukim Pinang Jawa di sini, hari ini.

Menurut Fazzrudin, objektif mewujudkan LPG Petros adalah untuk mempertingkatkan lagi pendapatan negeri yang seterusnya diagihkan kepada penduduk di seluruh Sarawak.

Katanya, agihan hasil pendapatan itu bukan hadir dalam bentuk bantuan wang sahaja, tetapi juga dalam bentuk bantuan, insentif dan pengwujudan peluang perkerjaan serta perniagaan.

“Sebelum ini, keuntungan dirasai oleh syarikat-syarikat lain yang berpengkalan di Semenanjung.

“Sekarang ini kita sudah ada syarikat milik Sarawak yang akan mendapat keuntungan daripada jualan tersebut dan mengagihkan dividen kepada kerajaan Sarawak, seterusnya akan digunakan untuk masyarakat,” ujar Fazzrudin.

Justeru, beliau menyifatkan usaha DAP itu bagaikan sudah ketandusan modal dan sengaja memperlekehkan usaha baik kerajaan Sarawak demi kesejahteraan rakyat.

Baru-baru ini, Chong menggesa kerajaan negeri menurunkan harga LPG Petros kepada sekurang-kurangnya RM23.80 satu tong atau 10 peratus.

Menurutnya, harga yang ditetapkan ketika ini masih kekal pada harga sama RM26.60 satu tong tidak termasuk kos penghantaran kepada pengguna. — DayakDaily