Julaihi: Projek benteng kawasan Sebuyau atasi masalah fenomena air pasang besar siap 2022

Julaihi (kiri) ketika lawatan ke projek benteng Sebuyau.

KUCHING, 6 Dis: Kerajaan negeri kini sedang melaksanakan kerja-kerja pembinaan dan membaiki benteng laut di sekitar Sebuyau dan bakal siap dalam tempoh dua tahun lagi.

Justeru menurut Menteri Muda Infrastuktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi, kebimbangan penduduk tempatan berhubung fenomena air pasang besar yang kerap mengakibatkan kerosakan harta benda dan hasil pertanian bakal berakhir.

“Kerja-kerja pembinaan fasa pertama benteng laut ini telah bermula pada bulan Oktober tahun ini dengan dua kawasan seperti Blok A di Kampung Sebangan dan Blok F di Kampung Baru Sebuyau.


“Kos projek bernilai RM88 juta iaitu sebahagian daripada RM375 juta yang telah diperuntukkan bagi kawasan Sebuyau,” katanya ketika melakukan lawatan kerja ke kedua-dua tapak projek tersebut semalam.

Julaihi yang juga Adun Sebuyau menambah, peruntukan untuk projek-projek itu adalah sebahagian daripada dana RM500 juta daripada pihak kerajaan negeri Sarawak melalui Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA).

Katanya, dua kontraktor telah dipertanggungjawabkan untuk menyiapkan projek sepanjang 4.3 kilometer di Blok A dengan nilai RM53.5 juta dan projek pembinaan benteng sepanjang 4.346 kilometer di Blok F dengan nilai RM34.5 juta.

“Kedua-dua syarikat ini dipilih melalui proses tender terbuka yang diuruskan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak Bahagian Samarahan dan dijangka siap pada bulan Oktober 2022,” ujar beliau.

Jelas Julaihi lagi, untuk kawasan Sebuyau sahaja terdapat empat blok benteng (Blok A, D, E dan F) yang perlu dibina iaitu dari Kampung Bajong sehingga ke pasar Sebuyau.

Katanya, projek pembinaan untuk fasa-fasa berikutnya akan menyusul dibawah pemerintahan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS). — DayakDaily