NGO Dayak mahukan isu pelarian Rohingya diselesaikan segera

Wakil NGO Dayak (dari atas kiri, lawan pusingan jam)- Wellie, Paul, Mengga, Micheal, Samuel dan Elias.
Advertisement

KUCHING, April 26: Lima NGO Dayak menggesa kerajaan segera menyelesaikan isu pelarian Rohingya sebelum ia menjadi lebih parah.

Menurut wakil-wakil NGO ini, tindakan harus dilakukan segera, termasuk penghantaran pulang ke negara asal mereka ataupun mana-mana negara yang ingin menerima kehadiran mereka.

“Pengalaman negara kita dengan pendatang tanpa izin cukup menyusahkan rakyat dari berbagai aspek keselamatan, ekonomi, perniagaan, peluang pekerjaan, masalah sosial dan sebagainya.

Advertisement

“Oleh itu, untuk menampung lebih ramai pelarian akan memberi tekanan kepada sumber kerajaaan Malaysia, dan kita harus mengutamakan kepentingan rakyat tempatan terlebih dahulu,” tegas mereka menerusi satu kenyataan media bersama hari ini.

Wakil-wakil NGO tersebut termasuk pengasas Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Wellie Henry Majang, presiden DTTAS Elias lipi Mat, presiden Kongress Kebangsaan Dayak (DNC) Paul Raja, dan presiden Persatuan
Iban Sarawak (PAIS) Samuel Suring.

Dua yang lain ialah presiden Pertubuhan Hak Asasi Orang Asal Sarawak (Scrips) Micheal M Jok dan presiden Persatuan Balang Balai Nyabong (BBN) Mengga Mikui.

Tambah mereka lagi, kerajaan Malaysia perlu mengkaji semula polisi dan dasar terhadap pelarian dari negara asing yang memasuki Malaysia, termasuk pelarian Rohingya.

“Ianya perlu dari segi sudut-sudut tertentu merangkumi layanan, kemampuan, punca dan daya tarikan yang mendorong mereka memilih untuk datang ke Malaysia.

“(Kehadiran) Pelarian Rohingya yang sedia ada di Malaysia juga sudah menimbulkan pelbagai masalah.

“Antara masalah mereka ialah tiada pendidikan sempurna dan tiada pekerjaan yang akan menjuruskan kepada masalah sosial dan jenayah untuk jangka panjang.

“Oleh kerana isu pelarian ini adalah masalah antarabangsa, kita sarankan agar negara anggota Asean lain patut bertanggungjawab membantu pelarian Rohingya,” tegas mereka lagi.

Berhubung isu yang sama, kelima-lima NGO Dayak ini menyokong tindakan tegas “kontroversi” pihak berkuasa untuk tidak menerima bot membawa pelarian Rohingya memasuki perairan Malaysia pada minggu lalu.

Di samping itu, mereka mahu perkara ini perlu ditangani dengan berhemah dan bertamadun berlandaskan perlembagaan di Malaysia dan antarabangsa yang boleh digunapakai.

“Kejadian pada minggu lalu itu dikritik kumpulan hak asasi manusia selepas berpuluh pelarian Rohingya mati kelaparan akibat bot mereka ditolak pihak berkuasa.

“Kita juga mengecam tindakan individu tertentu yang membuat tuntutan seolah-olah mengancam kerajaan untuk menyalurkan bantuan kepada pelarian di Malaysia.

“Sebagai pelarian, kita nasihatkan mereka akur dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia,” menurut mereka lagi.

Tambah mereka lagi, rakyat Malaysia dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan rakyat tempatan memerlukan bantuan.

Justeru itu, semua pihak harus sedar bahawa sesebuah kerajaan akan memberi bantuan mengikut keutamaan.

“Keutamaan negara kita ini adalah untuk mengendalikan masalah rakyat yang sedia ada, bukan tambah masalah baharu.

“Dengan musim pandemik Covid-19 dan bebanan ekonomi sekarang, keutamaan kerajaan Malaysia adalah rakyatnya sendiri,” ujar mereka. — DayakDaily

Advertisement