Usah terburu-buru anggap pelarian Palestin dibawa masuk Sarawak — Abdul Karim

Abdul Karim pada sidang media di Kuching hari ini (15 Nov 2023).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 15 Nov: Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa pihak-pihak tertentu agar tidak terburu-buru menilai berhubung isu pelarian Palestin.

Katanya, sebarang usaha membawa masuk pelarian ke Malaysia atau ke Sarawak perlu ada keputusan daripada kerajaan pusat terlebih dahulu.


“Ada kumpulan NGO yang tidak mahu pelarian Palestin diterima masuk ke Sarawak. Apa-apa perkara berkenaan dengan pelarian mesti ada keputusan dari kerajaan pusat.

“Tidak perlu kita terburu-buru; belum lagi kerajaan pusat membuat keputusan sudah ada NGO mengatakan kita tak mahu menerima.

“Tunggulah Perdana Menteri, tunggu keputusan Kabinet. Kalau kerajaan pusat sudah membuat keputusan kemudian anda boleh memberi pendapat,” katanya pada satu sidang media di Kuching hari ini.

Semalam, Peter John Jaban dari Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak berkata, kerajaan Sarawak harus menjaga autonominya ke atas kawalan imigresen, walaupun Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim terus menunjukkan sokongan kepada Hamas.

Peter John membuat spekulasi bahawa sokongan berterusan Anwar terhadap Hamas menunjukkan bahawa akan ada sedikit percubaan untuk memeriksa pencari suaka dari Palestin, yang boleh membawa risiko kemasukan oleh puak radikal dan ganas.

Turut menyokong desakan ini Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan yang menyifatkan bukan mudah untuk menyediakan tempat perlindungan serta memberi makanan kepada pelarian khususnya kepada mangsa perang. — DayakDaily