Tolak pelarian Palestin ke Sarawak, NGO Dayak sokong Nanta

File photo of a man carrying a Palestine flag. Photo credit: Pixabay

KUCHING, 15 Nov: Pertubuhan Gagasan NGO Dayak Sarawak menyokong pendirian Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi menolak idea untuk menerima pelarian Palestin ke Sarawak.

Menerusi satu kenyataan bersama hari ini, pertubuhan berpendapat pengalaman negara dengan pelarian cukup memberikan pengajaran dari berbagai aspek keselamatan, ekonomi, perniagaan, peluang pekerjaan, masalah sosial dan sebagainya.

“Oleh itu, untuk menampung lebih ramai pelarian akan memberi tekanan kepada sumber kerajaaan Malaysia, dan kita harus mengutamakan kepentingan rakyat tempatan terlebih dahulu,” katanya.


Tambah Pertubuhan Gagasan NGO Dayak Sarawak, sebagai negeri yang masih memerlukan banyak pembangunan untuk setaraf dengan dengan Malaya, tumpuan perlu diberi kepada pembangunan sosio-ekonominya, mengutamakan keperluan dan kebajikan penduduknya sendiri.

Katanya, masih banyak keutamaan yang harus diberi perhatian seperti membaikpulih sekolah daif, memperluaskan jaringan internet, jalan raya, bekalan elektrik, bekalan air bersih dan banyak lagi kemudahan infrastruktur yang perlu diberi perhatian.

“Tanpa rasa prejudis dengan mana-mana masyarakat atau bangsa, kami berpendapat bahawa masyarakat luar negara tidak sesuai dengan suasana masyarakat Sarawak lebih-lebih kita belum pasti dapat menangani masyarakat yang cenderung kepada extremis, keganasan, dan kebencian.

“Justeru itu, kita menghormati hak pemimpin Malaya untuk menerima sesiapa saja, kita juga ingin mengingatkan pemimpin Malaya juga perlu menghormati pendirian pemimpin Sarawak untuk tidak menerima mana-mana pelarian.

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit pada semalam berkata, Sarawak tidak perlu menerima mana-mana pelarian, khususnya dari negara yang terkenal dengan keganasan, kemarahan dan kebencian.

Tambahnya, negeri perlu memberi tumpuan kepada pembangunan sosio-ekonomi dan mengutamakan keperluan penduduknya sendiri.

Pertubuhan Gagasan NGO Dayak Sarawak diwakili Pengasas Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Wellie Henry Majang, Timbalan Presiden Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Ricky Sani, Penasihat Undang-Undang DTTAS Paul Raja, Presiden Persatuan Iban Sarawak (PAIS) Samuel Suring.

Penasihat Persatuan Terabai Menua Sarawak Wilfred Nissem, Presiden Persatuan Jaringan Tanah Hak Adat Bangsa Asal Sarawak (TAHABAS) Romuald Siew, Presiden Persatuan Masyarakat Salako dan Rara Sarawak (PERASA) Robert Umping dan Presiden Persatuan Kebajikan Masyarakat Asal Engkilili, Skrang dan Lubok Antu (PELASAR). — DayakDaily