Nelayan hilang ditemui selamat di Tanjung Manis

Mangsa ditemui dalam keadaan selamat.

TANJUNG MANIS, 28 April: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang semasa menangkap ikan di Sungai Batang Paloh semalam, ditemui dalam keadaan selamat hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) berkata mangsa dilaporkan hilang pada jam 8.48 malam semalam.

Bagaimanapun operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa hanya dapat dilakukan hari ini berikutan keadaan gelap dan faktor cuaca.


“Menurut komander operasi, semasa pasukan SAR sedang menjalankan pencarian pada jam 7 pagi (hari ini) menuju ke Muara Sungai Batang Paloh, mereka telah menerima maklumat mengatakan mangsa telah dijumpai di sungai dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pasukan penyelamat terus ke lokasi di mana mangsa ditemui iaitu kira-kira sejam perjalanan menyusuri muara Sungai Batang Paloh.

Mangsa dikenali sebagi Abdul Wahab Mohd Yusuf berusia 59 tahun.

Operasi SAR tersebut disertai anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Manis, Polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Lembaga Sungai Sarawak. — DayakDaily