Nelayan hilang dipercayai masih terperangkap di kawasan paya bakau

Kelihatan Zin Azman (tengah) ketika sidang media selepas majlis perpindahan KM semilang ke Zon Maritim Tanjung Manis.

KUCHING, 6 Jan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) wilayah Sarawak, percaya terdapat kemungkinan seorang nelayan, Samsudin Badan, yang dilaporkan hilang di laut pada 3 Januari lalu masih terperangkap di kawasan paya bakau lokasi barang milik beliau di temui.

Pengarah Maritim Wilayah Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, dalam operasi semalam pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemui jaket keselamatan dipercayai milik beliau di kawasan paya bakau, lokasi sama dengan penemuan bot pada hari sebelumnya.

Justeru, kata beliau, pihaknya percaya terdapat kemungkinan lelaki tersebut masih terperangkap atau tersangkut di kawasan paya bakau terbabit.


“Pasang surut air di kawasan ini agak tinggi iaitu sekitar lima meter perbezaannya, jadi pastinya bot dan peralatan itu akan disapu terus ke kawasan pantai dan masuk ke kawasan bakau ini.

“Jadi saya harap operasi pada hari ini kita dapat hasil yang positif yang pastinya akan memberi kelegaan kepada keluarga mangsa,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perpindahan Kapal KM Semilang di sini hari ini.

Zin Azman dalam pada itu menasihati komuniti maritim khususnya nelayan pesisir untuk sentiasa menggunakan jaket keselamatan ketika turun menangkap ikat di laut.

Katanya, keadaan laut yang bergelora pastinya berbahaya kepada bot kecil selain boleh mendedahkan nelayan terlibat kepada insiden hilang di laut.

Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus

“Nelayan ini perlu memakai jaket keselamatan ini setiap masa bukannya hanya setakat membawanya sahaja kerana kalau berlaku ombak besar itu, tidak sempat untuk pakai jika hanya bawanya sahaja.

“Ini kerana ada setengah kes itu, ada bawa jaket keselamatan ketika di laut tapi tidak dipakai, jadi risiko boleh lemas itu tinggi apabila tercampak ke laut,” katanya.

Dalam insiden pada 3 Januari lalu, Samsudin Bedan, 59, dipercayai keluar dari rumahnya di Santubong untuk menghantar bot ke kampung Lundu sekitar jam 5.50 pagi.

Beliau bagaimanapun tidak memunculkan diri di Lundu selain gagal dihubungi membuatkan ahli keluarganya membuat laporan berkenaan kehilangan beliau. — DayakDaily