KUCHING, 4 Julai: Para pengusaha tempatan khususnya mereka yang terlibat di dalam pengeluaran makanan disaran mengambil langkah secara serius bagi mempertingkatkan hasil pengeluaran.
Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan E-Dagang Datuk Naroden Majais berkata, ia untuk memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi untuk keperluan domestik.
“Pandemik Covid-19 telah mengajar kita betapa penting dan kritikalnya jaminan keselamatan makanan bagi sesebuah negara yang masih bergantung kepada barangan makanan dan bukan makanan dari luar negara.
“Ianya amat dirasai sekali apabila China, diikuti Vietnam yang dahulunya sumber pembekal beras kepada kita menghentikan ekspot beras ke Malaysia.
“Apa akan berlaku sekiranya bekalan beras daripada negara-negara seperti Kemboja, Thailand dan India terputus di masa akan datang?” Selain beras, kita masih juga memerlukan barangan keperluan lain dari negara luar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada Program Citarasa Malaysia@Bumi Kenyalang di sebuah pusat membeli belah terkemuka di Bandaraya Kuching hari ini.
Majlis telah dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi.
Jelas Naroden, barangan tempatan dari Sarawak walaupun tidak diekspot, sekurang-kurangnya ia mampu memenuhi keperluan dan permintaan pasaran tempatan.
“Inilah salah satu objektif program pada hari ini, kita mengalakkan para pengusaha tempatan kita mengambil langkah secara serius bagi mempertingkatkan hasil pengeluaran mereka.
“Sekurang-kurangnya mereka sudah mula membuat perancangan bagi mencapai matlamat berkenaan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau berkata pasaraya-pasaraya besar juga memainkan peranan penting dalam mempertengahkan barangan tempatan ke pasaran tempatan serta pasaran luar.-DayakDaily