Naroden hulurkan bantuan membina semula rumah mangsa kebakaran

Naroden (dua dari kiri) bersama penduduk kampung melawat rumah Sari Mohd Ghani yang musnah terbakar di Kampung Lalang, Gedong.
Advertisement

GEDONG, Sept 19: Ahli Dewan Undangan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais mengumumkan akan membantu menampung kos membina semula rumah Sari Mohd Ghani, 56, dianggarkan sebanyak RM20,000 yang musnah akibat kebakaran di Kampung Lalang, di sini, baru-baru ini.

“Kos pembinaan semula rumah Sari adalah dalam lingkungan RM20,000 dan dijangka boleh disiapkan dalam masa sebulan,” katanya ketika melawat rumah mangsa di Kampung Lalang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kebakaran rumah mangsa yang berlaku jam 3.45 pagi, Isnin lepas, mangsa yang tinggal sendirian telah berjaya menyelamatkan diri, namun rumah dan semua barangannya musnah setelah bomba berjaya memadamkan kebakaran itu setengah jam kemudian.

Advertisement

Naroden yang juga Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahawan Kecil dan Sederhana berkata beliau pernah memberi bantuan sedemikian kepada beberapa penduduk kawasan DUN Gedong sebelum ini dan kebiasaannya rumah terbabit mempunyai ukuran keluasan 20 kaki kali 24 kaki dan mempunyai dua bilik tidur, tandas, dapur dan ruang tamu.

“Ini adalah inisiatif saya sebagai wakil rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong) dan kerajaan negeri dalam usaha meringankan beban penduduk yang ditimpa malapetaka atau yang tiada memiliki rumah,” katanya.

Sementara itu, Sari meluahkan kesyukuran apabila ADUN Gedong terbabit mengumumkan akan membantu membina semula rumahnya berikutan beliau kini kehilangan semua harta benda akibat kebakaran itu. — DayakDaily

Advertisement