Mulai 1 Ogos 2021, harga minyak sawit botol 5kg di bawah RM30 — KPDNHEP

KPDNHEP inspecting prices of goods (File photo).

KUCHING, 27 Julai: Mulai 1 Ogos 2021, harga minyak masak sawit botol 5 kilogram ditetapkan tidak melebihi RM30 sebotol.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, ini berikutan persetujuan Kerajaan untuk melaksanakan program Harga Kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah.

“Melalui program ini, harga minyak masak sawit botol 5 kilogram diputuskan untuk dikawal supaya harganya tidak melebihi RM30 sebotol.

“Sehubungan itu, Kerajaan menerusi KPDNHEP telah menetapkan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan 2021.

“Penetapan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada agensi-agensi, industri dan trend harga di pasaran,” kata KPDNHEP dalam kenyataan hari ini

Menerusi perintah yang berkuat kuasa pada 1 Ogos 2021, harga runcit maksima bagi minyak masak(botol) 1kg ialah RM6.70 dan 2kg ialah RM12.70.

Manakala bagi minyak masak(botol) 3kg ialah RM18.70 dan 5kg ditetapkan RM29.70

“Dengan pelaksanaan harga kawalan untuk minyak masak tulen ini, pengguna-pengguna adalah dijamin untuk mendapatkan minyak masak tersebut dibawah harga RM30 untuk 5kg.

“Begitu juga pada lain-lain kuantiti tanpa mengira kepada kedudukan harga sawit semasa,” katanya. — DayakDaily