Muhyiddin diminta mendengar suara rakyat Sarawak dalam melantik barisan menteri kabinet

Fatimah (duduk lima dari kiri) bersama penganjur dan peserta Program "Happy Family Day" di SJKC Chung Hua No. 3 di Padungan.

KUCHING, Mac 1: Ketua Pergerakkan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fatimah Abdullah meminta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baharu dilantik untuk mendengar suara rakyat negeri ini dalam melantik barisan menteri kabinetnya selepas ini.

Beliau yang juga Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak berkata demikian kerana Perdana Menteri ada hak ekslusif atau “prerogatif” dan boleh melantik sesiapa sahaja bagi sebagai menteri itu termasuk mereka yang bukan dalam Perikatan Nasional (PN).

“Sudah tentu (Perdana Menteri perlu mendengar suara rakyat Sarawak) dan mesti, sebab kita tidak berganjak dari tuntutan kita untuk mendapat hak kita, hak anak Sarawak balik,” katanya selepas merasmikan Program “Happy Family Day” di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua No. 3 di Padungan, di sini, hari ini.


Fatimah mengulas mengenai Muhyiddin yang juga presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara hari ini.

“Saya fikir apapun yang penting ialah beliau (Perdana Menteri) mengunakan kebijaksanaan beliau sendiri, bagaimana harus dia membahagikan jawatan (menteri kabinet) ini, dan turut penting saya rasa ialah ia perlu inklusif,” kata Fatimah.

Selain itu, beliau belum memikirkan lagi samada selepas ini Sarawak akan memohon Perdana Menteri menimbangkan melantik anak Sarawak sebagai menteri kabinet pusat yang menjaga portfolio kebajikan.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak di Sarawak supaya akur keputusan dibuat Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Bagi kami (Gabungan Parti Sarawak) pula, pendirian kami seperti dinyatakan Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) adalah amat jelas dan kami semua dibelakang Ketua Menteri bahawa kami akan menyokong siapa yang dipilih Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Namun, beliau menegaskan GPS hanya menyokong pemilihan tersebut tetapi tidak menjadi sebahagian dari PN. Beliau turut berharap selepas ini Muhyiddin akan faham kedudukan pihaknya dan aspirasi rakyat Sarawak.

“Kita mahu supaya apa hak kita (Sarawak) ianya jangan disampingkan nanti. Itu tidak sepatutnya berubah,” katanya, yang juga yakin Muhyiddin mampu melaksakanakan tugasnya dengan baik kerana berpengalaman luas dan pernah menjadi Ketua Menteri Johor, Menteri Pendidikan, Menteri Dalam Negeri serta banyak lagi. — DayakDaily