MSN Sarawak mahu Sukma Johor ditangguh

Dr Ong Kong Swee

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, 23 Mac: Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) mahu penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) XX Johor, dijadual 11-19 Julai, ditangguh sehingga wabak Covid-19 berakhir sepenuhnya.

Pengarah MSNS, Dr Ong Kong Swee, berkata adalah satu kesalahan jika mereka membenarkan atlet-atlet muda bertanding dan terdedah dengan situasi merbahaya yang telah meragut ramai nyawa itu.


“Saya percaya ibu bapa mahupun pegawai sukan juga enggan menyertai Sukma jika situasi masih merbahaya.

“Kita perlu terbang ke Johor dan menggunakan kemudahan penginapan serta pengangkutan yang mungkin terdedah dengan jangkitan.

“Risikonya sangat tinggi kerana kita tidak tahu siapa dalam kalangan mereka di sana pembawa jangkitan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ong, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), berkata beliau juga tidak bersetuju dengan tarikh baru penganjuran Sukma iaitu pada September 2020, kerana bimbang wabak berkenaan belum berakhir sepenuhnya semasa itu.

Justeru, semasa perbincangan bersama Pengarah Majlis Sukan Negeri yang lain sebelum ini, beliau telah mencadangkan agar penganjuran Sukma Johor dianjakkan ke Julai 2021.

“Saya mencadangkan agar Sukma diadakan pada Julai tahun depan kerana kita tidak tahu setakat mana pandemik ini akan berakhir. Saya yakin negeri-negeri lain juga bersetuju dengan cadangan tersebut.

“Bagaimanapun, ia terpulang kepada kepada Majlis Tertinggi Sukma dan tuan rumah Johor,” tambahnya.

Menurut Ong, beliau akan duduk berbincang dengan pengarah MSN lain dalam masa terdekat bagi memuktamadkan perkara tersebut. — DayakDaily