Covid-19: Penutup hidung dan mulut diagihkan percuma kepada rakyat Malaysia

Surgery. — DayakDaily file pic // Image by Sasin Tipchai from Pixabay

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mac 23: Penutup mulut dan hidung akan diagihkan secara percuma kepada rakyat Malaysia yang memerlukan, tegas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya nak umum dan saya telah bersetuju, kita akan agih secara percuma kepada seluruh rakyat Malaysia yang memerlukan.

“Itu merupakan sumbangan kerajaan dalam waktu krisis yang kita sedang hadapi waktu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Khas selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di Putra Jaya hari ini.

Bagi tujuan keperluan domestik, tambah beliau, langkah mengimport penutup hidung dan mulut pada masa ini masih diperlukan.

Katanya, import harus dilakukan selagi tahap bekalan oleh pengeluar tempatan di negara ini tidak mencapai tahap yang memuaskan, dan tidak memenuhi keperluan domestik negara ini.

“Sementara bekalan oleh pengeluar tempatan belum sampai ke tahap yang memuaskan, kita ambil keputusan untuk mengimport dari China sebanyak 10 juta keping, yang sepatutnya dapat diusahakan dengan segera.

“Semalam saya arahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara, agensi bertanggungjawab untuk malapetaka, supaya mereka keluarkan peruntukan yang sudah disediakan kerajaan, harga saya diberitahu lebih RM1.18 sen sekeping,” ujar beliau lagi.

Di samping itu, Muhyiddin mengharapkan agar pengeluar tempatan dapat terus menghasilkan penutup mulut dan hidung dengan mencukupi walaupun mereka mempunyai sedikit masalah mendapatkan bekalan bahan mentah dari negara luar.

Ujar beliau, ia dapat diatasi dan dilaksanaka kerana kapasiti pengeluaran penutup hidung dan mulut untuk negara ini adalah dua atau tiga juta keping setiap bulan.

“Kalau dapat diusahakan saya fikir bekalan lebih dari memadai.

“Lebih-lebih lagi sudah diputuskan pihak Kastam Diraja Malaysia supaya pengekspotan penutup mulut dan hidung ke luar negara tak dibenarkan. Ini bagi pastikan bekalan kita mencukupi,” katanya.

Mengulas berhubung harga siling penutup hidung dan mulut, Muhyiddin berkata, harga kawalan itu perlu diteliti supaya tidak terlalu tinggi.

Justeru katanya, Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan (Kerja Raya) Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi telah diarah untuk berbincang dengan pengeluar. — DayakDaily