MPV tangkap dua lelaki, ‘genggam’ syabu di Kota Samarahan

Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

KOTA SAMARAHAN, 11 Nov: Tindakan pantas anggota dari Unit Kereta Peronda Polis (MPV) IPD Kota Samarahan berjaya memberkas dua lelaki disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah semalam (Rabu).

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata kedua-dua suspek mulanya dilihat mencurigakan di Taman Merdang Limau sekitar jam 9.15 malam.

Ekoran itu, anggota MPV terbabit bertindak mengekori kereta yang dinaiki suspek dan kemudian menahannya untuk pemeriksaan.


Katanya, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan dadah jenis syabu.

“Sebanyak tiga paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah syabu ditemui dalam genggaman tangan suspek yang memandu kereta berkenaan.

“Manakala pemeriksaan ke atas kereta serta suspek yang duduk di tempat penumpang tidak menemui apa-apa barang salah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kedua-dua suspek kemudian ditahan dan di bawa ke Balai Polis Kota Samarahan untuk siasatan lanjut.

“Hasil saringan awal air kencing oleh pihak BSJND IPD Kota Samarahan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis ketamin.

“Suspek kemudian direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. — DayakDaily