KUCHING, 15 Okt: Program Gotong Royong dan Kempen Beli Balik yang diadakan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di Pusat Komersial RH Park di Batu 9 membawa warganya turun padang dan memberi khidmat kepada rakyat.
Menurut Cr Dato Sim Kiang Chiok, program juga membawa bersama-sama para peniaga serta penghuni rumah kedai untuk menjaga kebersihan persekitaran masing-masing.
“Antara tujuan utama kita mengadakan program seperti ini adalah supaya dapat bersama-sama dalam membantu membersihkan kawasan-kawasan di sekitar pusat komersial.
“Pada masa yang sama ia membantu memusnahkan tempat-tempat yang menjadi pembiakan nyamuk aedes dalam kawasan ini,” katanya ketika ditemui.
Disamping itu tambah Sim, MPKS ada menyediakan ruangan kaunter vaksinasi untuk haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing bagi tujuan pengawalan ke atas jangkitan rabies.
Katanya yang juga Pengerusi SUPP Stakan, pihak majlis memandang serius berkenaan dengan penularan jangkitan penyakit yang merbahaya.
Pihak MPKS juga ada menyediakan satu ruangan untuk aktiviti pengumpulan bahan kitar semula untuk komuniti setempat termasuk kawasan komersial RH Park.
“Ruangan ini disediakan bagi memudahkan penduduk setempat menghantar barangan kitar semula masing-masing.
“Ini membantu penduduk mengurangkan jumlah sampah atau bahan buangan dalam kawasan masing-masing, ianya juga dapat ditukarkan dengan hasil pulangan,” ujar Sim. — DayakDaily