MP Lubok Antu sumbang geran RM65,000 bantu bina Rh Alo, Lemanak

Jugah (tengah) bersalaman dengan Tuairumah Alo di majlis tersebut.
Advertisement

KUCHING, 15 Jun: Ahli Parlimen (MP) Lubok Antu Jugah Muyang menyumbangkan geran RM65,000 untuk membantu pembinaan Rumah Alo, Lemanak, yang baharu.

Geran tersebut diserahkan di “Majlis Ngiling Bidai Rumah Alo, Lemanak” yang diadakan semalam.

Berucap di majlis itu, Jugah berkata perayaan yang diraikan di negeri ini seharusnya dijadikan “medium” (saluran) untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum.

Advertisement

“Perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri ini amatlah penting untuk kita maju ke hadapan. Ini penting agar kestabilan politik dapat diwujudkan dan seterusnya memacu pembangunan negeri dengan lebih pesat lagi,” katanya.

Jugah (berdiri) berucap di Majlis Ngiling Bidai Rumah Alo, Lemanak.

Tambah Jugah, aspek ini akan menjadi platform utama kerajaan pusat dalam merancang dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk kepentingan rakyat.

Keutamaan kerajaan, katanya, adalah melaksanakan lebih banyak pembangunan infrastruktur termasuk jalan raya, bekalan air bersih, pembangunan pendidikan dan kebajikan penduduk luar bandar.

“Kita harap semua ini dapat direalisasikan dengan sokongan rakyat, yang mana tanpa sokongan mereka, adalah mustahil untuk kita melaksanakan pembangunan di kawasan luar bandar,” ujar beliau.

Justeru, Jugah mahukan rakyat menolak perbezaan fahaman politik agar semua perancangan pembangunan dapat dicapai.

Majlis turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah Lubok Antu, Jim Andrew Janggi dan beberapa tuai rumah dari kawasan sekitar Rh Alo, Lemanak. — DayakDaily

Advertisement