MOF dedah senarai 101 projek RT Pakatan Harapan bernilai RM6.61 bilion

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - Image from Finance Ministry website.

KUCHING, 26 OGOS: Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mengeluarkan senarai kementerian dan jabatan yang mendapat kelulusan perolehan kerajaan secara rundingan terus(RT).

Senarai RT tersebut berlaku semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan(PH) yang melibatkan 101 projek bernilai RM6.61 billion.

Katanya,senarai tersebut didedahkan atas dasar mendokong urus tadbir yang baik demi ketelusan pentadbiran.


“Kementerian Pengangkutan memperoleh kelulusan perolehan kerajaan secara RT yang tertinggi dengan nilai RM4.47 bilion melibatkan 4 projek.

“Seterusnya, Kementerian Pertahanan RM900 juta melibatkan 6 projek, Kementerian Dalam Negeri RM517 juta(8 projek), Kementerian Komunikasi dan Multimedia RM380 juta (12 projek), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan RM170 juta dengan 2 projek.

“Diikuti Kementerian Pendidikan RM87.49 juta melibatkan 7 projek, Kementerian Kesihatan sebanyak RM10.87 juta(4 projek), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri RM10.36 juta (9 projek), Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim RM8.46 juta (7 projek),’katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Zafrul, Kementerian Kewangan pula menerima RM9.03 juta melibatkan 4 projek, Jabatan Perdana Menteri RM8.18 juta(5 projek), Kementerian Pembangunan Luar Bandar RM7.36 juta (2 projek) dan Kementerian Belia dan Sukan RM6.45 juta(1 projek).

Dedah Zafrul lagi, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebanyak RM6.15 juta(8 projek), Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli RM5.67 juta(13 projek), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat RM1.18 juta(1 projek).

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi RM1.17 juta(4 projek), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya RM0.57 juta(2 projek), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna RM0.16 juta(1 projek) dan Kementerian Wilayah Persekutuan RM0.096 juta(1 projek).

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata RT dibenarkan atas dasar proses perolehan yang memenuhi salah satu atau lebih daripada syarat-syarat.

Katanya, syarat-syarat ialah perolehan bekalan dan perkhidmatan melibatkan keperluan mendesak yang mana jika perolehan tersebut tidak dilaksanakan dengan segera, ia boleh memudaratkan dan menjejaskan perkhidmatan serta kepentingan negara.

Syarat kedua, keperluan penyeragaman bagi memastikan kesesuaian penggunaan antara barangan sedia ada dengan barangan baharu yang diperoleh.

“Ketiga, satu punca bekalan atau perkhidmatan iaitu pengeluaran produk atau penyediaan perkhidmatan hanya boleh dibekalkan daripada satu sumber sahaja;

“Keempat, keselamatan yang melibatkan perolehan item atau perkhidmatan demi keselamatan atau kepentingan strategik negara atau;

“Kelima, kontrak dengan syarikat pembuat Bumiputera yang memenuhi semua syarat kelayakan.-DayakDaily