KUCHING, Mei 29: Misteri seorang wanita tidak turun kerja selama beberapa hari akhirnya terungkai apabila dia ditemui mati di dalam sebuah bilik mandi di rumahnya di Bintawa Village di sini hari ini.
Mangsa yang dikenal pasti sebagai Chai Mui Lian ditemui pasukan bomba dan polis yang datang ke rumah tersebut sambil ditemani rakan mangsa kira-kira pukul 12 tengah hari.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya, Wong Tong Leong berkata, sebelum itu pihaknya menerima panggilan dari polis untuk mendapatkan khidmat khas membuka pintu di Bintawa Village di sini.
Katanya, 11 anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi untuk melakukan perkhidmatan khas kepada pihak polis untuk membuka pintu rumah mangsa.
“Sebelum itu, berdasarkan maklumat diterima, menyedari mangsa beberapa hari tidak hadir bekerja rakan mangsa terus ke rumah mangsa untuk melawatnya.
“Setiba di rumah mangsa rakannya terhidu bau busuk dan rumah mangsa berkunci. Pihak polis juga berada di lokasi setelah rakan mangsa membuat laporan di Balai Polis Bintawa,” katanya di sini hari ini.
Wong menambah, anggota bomba yang tiba di lokasi kemudian bertindak membuka pintu rumah mangsa menggunakan peralatan khas.
Ujarnya, setelah berjaya membuka pintu rumah itu, pemeriksaan kemudian dilakukan sebelum menemui satu mayat berada di atas lantai di dalam bilik air.
“Rakan mangsa kemudian mengesahkan mayat yang ditemui itu adalah mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi khas berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 12.30 tengah hari,” katanya lagi. — DayakDaily