Tindakan pantas pengawal keselamatan, penduduk kampung berjaya selamat sekolah daripada terbakar teruk

Keadaan selepas kebakaran di sebuah bilik kelas pemulihan di SK Haji Bujang Sebangan, Sebuyau.

SEBUYAU, Mei 29: Tindakan pantas pengawal keselamatan serta penduduk kampung memadam kebakaran di bilik kelas pemulihan berjaya mengelak kejadian lebih teruk berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Bujang Sebangan di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 11.20 malam itu telah mengakibatkan sebuah bilik kelas pemulihan jenis struktur tidak kekal telah terbakar 10 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan, Mat Undek berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.23 malam.


Jelasnya, sepasukan lapan anggota bomba bersama sebuah jentera pemadam kemudian bergegas ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran tersebut telah berjaya dipadam oleh penduduk kampung dan dua pengawal keselamatan yang sedang bertugas menggunakan 11 alat pemadam api.

“Pihak bomba kemudian bertindak melakukan pemeriksaan di tempat kejadian bagi memastikan keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Mat Undek memberitahu, kebakaran tersebut telah memusnahkan satu unit alat pendingin hawa dan beberapa naskah Al-Quran.

Katanya, kebakaran itu juga melibatkan dinding struktur kayu kelas berkenaan.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu,” ujarnya lagi. ā€” DayakDaily