Ops Selamat Gawai 2018: Polis tegas pastikan keselamatan pengguna jalan raya

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, Mei 29: Masyarakat Dayak di negeri ini yang balik menyambut Hari Gawai Dayak pada Jun 1 depan diminta agar memandu dengan lebih berhati-hati sewaktu pulang ke kampung halaman.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya begitu menitik berat apspek keselamatan pengguna jalan raya kemalangan dan mahu mereka pulang dengan selamat untuk sambutan Hari Gawai kelak.

“Saya ingin ambil peluang ini untuk berpesan kepada semua warga masyarakat Dayak yang ingin pulang ke kampung agar lebih berhati-hati memandu.


“Biar lambat, asalkan selamat dan kita hendak kepulangan ke kampung dalam keadaan yang selamat,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, disebabkan pentingnya soal keselamatan di jalan raya, polis tidak akan berkompromi dengan pesalah trafik yang didapati melakukan kesalahan sepanjang Ops Selamat Gawai 2018 yang bermula Mei 25 lalu hingga Jun 8 depan.

Kata Alexson, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan saman terhadap pesalah trafik kerana ia bertujuan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

“Saya menasihatkan pemandu terutama pengguna-pengguna jalan raya yang mahu pulang ke kampung agar mengutamakan keselamatan dengan mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Polis tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pemandu yang sengaja membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Ini termasuk melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas seperti memandu melebihi had laju, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, memotong barisan dan menggunakan lorong kecemasan,” katanya. — DayakDaily