Misteri bau busuk bawa penemuan mayat ejen insurans

Royal Malaysia Police logo

PADAWAN, Ogos 26: Misteri bau busuk dari sebuah rumah sejak beberapa hari lalu akhirnya membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang ditemui mati tergantung di sebuah rumah di Taman Kota Padawan, Batu 11, Jalan Kuching-Serian di sini.

Mangsa, 58, ditemui mati oleh pasukan polis dalam keadaan lehernya tergantung menggunakan kabel elektrik dan diikat pada besi tangga kira-kira pukul 6.50 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebelum penemuan itu, pihaknya telah dimaklumkan mengenai bau busuk datang dari rumah mangsa oleh jiran lelaki berkenaan.


Katanya, selepas menerima aduan dan maklumat berhubung kes itu, sepasukan anggota polis kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan siasatan awal.

“Sebaik tiba, anggota polis kemudian membuka rumah mangsa sebelum menemui seorang lelaki dalam keadaan mati tergantung dipercayai akibat bunuh diri.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa tinggal di rumah di situ seorang diri kerana isteri dia menetap di rumah kakaknya disebabkan pasangan terbabit dalam proses penceraian,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aidil menambah, pihak polis telah menghubungi isteri mangsa dan wanita terbabit mendakwa sering dipukul oleh mangsa ketika masih hayatnya.

Katanya, mangsa juga dipercayai mempunyai masalah stress dan sentiasa menerima rawatan di Hospital Sentosa, Batu 7 di sini.

“Berdasarkan keterangan jiran mangsa, mereka mendakwa tiada mendengar sebarang pergaduhan dan mangsa dikatakan selalu bersembang dengan jirannya.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat.

“Setakat ini, tiada unsur-unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. — DayakDaily