Rumah pekerja terbakar: Remaja lelaki dijumpai mati rentung

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui mati rentung.

LAWAS, Ogos 27: Malang menimpa seorang remaja lelaki apabila dia ditemui mati rentung dalam satu kebakaran melibatkan sebuah rumah pekerja Ladang Terusan Kumpulan Sri Jati di Jalan Sunda Terusan dekat sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 9.38 pagi itu menyebabkan remaja berusia 14 tahun dijumpai mati di bawah timbunan kebakaran di sebuah bilik mandi di rumah pekerja tersebut.

Mangsa yang maut dipercayai merupakan orang kurang upaya (OKU).


Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Zaki Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.39 pagi.

Jelasnya, sejurus menerima maklumat berhubung kebakaran itu, sepasukan sembilan anggota bomba dari BBP Lawas telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati rumah pekerja setingkat jenis struktur tidak kekal di situ terbakar kira-kira 90 peratus.

“Anggota bomba kemudian bertindak membuat pemadaman menggunakan sumber air dari jentera dan pili bomba untuk memadamkan kebakaran tersebut,” katanya di sini hari ini.

Zaki menambah, semasa operasi pemadaman dilakukan anggota bomba menjumpai mayat remaja lelaki berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian berlaku semua penghuni tiada di rumah atas urusan bekerja di ladang dan hanya mangsa seorang sahaja yang berada di rumah.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Lawas untuk dibedah siasat.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran tersebut,” katanya lagi. — DayakDaily