MIS: Rumah terbuka tidak dibenarkan, manakala ziarah kubur tidak digalakkan pada Aidilfitri

Sparklers. — DayakDaily.com file pic..// Image by StockSnap from Pixabay

KUCHING, 4 Mei: Penganjuran rumah terbuka tidak dibenarkan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Majlis Islam Sarawak (MIS) menerusi prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang dikeluarkan hari ini turut tidak menggalakkan aktiviti ziarah kubur.

“Rumah terbuka tidak dibenarkan pada sambutan Hari Raya tahun ini, manakala aktiviti ziarah kubur tidak digalakkan berdasarkan penilaian risiko kes Covid-19 semasa.


“Namun sekiranya tidak dapat dielakkan, hendaklah mematuhi Garis Panduan Aktiviti Ziarah Pusara yang dikeluarkan pada 8 April 2021 oleh Majlis Islam Sarawak,” kata MIS dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah MIS, jika aktiviti ziarah tidak dapat dielakkan, peserta hendaklah membuat kawalan kendiri untuk menjaga penjarakan fizikal satu meter.

“Hendaklah sentiasa menggunakan pelitup separuh muka dan tidak bersalaman.

“Tempoh ziarah satu pusara hendaklah tidak melebihi tempoh 20 minit dan tidak melebihi bilangan kehadiran seramai lima orang ahli waris atau keluarga terdekat sahaja,” kata MIS.

MIS turut tidak membenarkan jamuan selepas solat Aidilfitri di masjid atau surau serta aktiviti takbir dari rumah ke rumah.

Katanya lagi, tahlil selepas solat Aidilfitri di masjid atau surau tidak dibenarkan.

Tambah MIS lagi, bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), solat sunat Aidilfitri tidak dibenarkan di masjid atau surau dan hanya dilaksanakan di rumah masing-masing bersama ahli keluarga sahaja. — DayakDaily