MIS: Ibadah Qurban dibenarkan mulai 31 Julai hingga 3 Ogos seluruh Sarawak

Image by Mario Vogelsteller from Pixabay

KUCHING, 28 JULAI: Majlis Islam Sarawak(MIS) menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Ibadah Qurban boleh dilaksanakan di seluruh Sarawak di rumah-rumah sembelihan atau masjid dan surau.

Setiausahanya Khalidi Ibrahim berkata, tempoh pelaksanaan Ibadah Qurban adalah selama 4 hari iaitu bermula pada 31 Julai sehingga 3 Ogos 2020.

“Jumlah individu yang dibenarkan terlibat ialah penyembelihan maksima 10 orang, pelapahan maksima 20 orang, pemotongan, penimbangan dan pembungkusan maksima 10 orang dan peserta dan penerima maksima 20 orang,” katanya.


Tambah beliau, jawatankuasa pengelola hendaklah memastikan tiada jamuan disediakan sebaliknya hanya makanan berbungkus untuk petugas sahaja dibenarkan.

Katanya, empat kawasan berasingan hendaklah disediakan iaitu kawasan penyembelihan, pelapahan, pemotongan, penimbangan dan pembungkusan serta kawasan pengagihan untuk peserta qurban dan penerima.

“Jawatankuasa pengelola perlu membenarkan pegawai pemeriksa daging Pejabat Veterinar membuat pemeriksaan bagi memastikan proses penyembelihan yang dijalankan mematuhi Seksyen 68, Ordinan Kesihatan Awam Veterinar, 1999.

“Dan memastikan bilangan binatang qurban yang disembelih tidak lebih dari 10 ekor sehari,” ujar Khalidi.

Katanya lagi, jawatankuasa pengelola hendaklah memastikan semua yang hadir mengisi nama dan nombor telefon yang lengkap dan tepat serta sentiasa menjaga penjarakkan sosial 1 meter.—DayakDaily.