Minyak masak peket polibeg 1kg subsidi masih kekal di pasaran, tegas Nanta

Nanta berucap semasa lawatan kerja ke premis One Stop Super Store di Kuching.

KUCHING, 25 Jun: Minyak masak peket polibeg 1kg dengan harga subsidi RM2.50 masih kekal di pasaran dan kerajaan tidak menarik balik penjualannya, tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Menurut beliau, kerajaan hanya memansuhkan subsidi minyak masak kemasan botol 2 kilogram (kg), 3kg dan 5kg yang diputuskan oleh kerajaan sebagai langkah untuk memastikan lebih banyak bantuan secara terus dan bersasar kepada golongan yang layak.

“Ini mesti dijelaskan dan semua pengguna jangan keliru, minyak masak peket polibeg 1kg masih kekal di pasaran dan masih disubsidikan oleh kerajaan.


“Malah kerajaan telah menambah peruntukan untuk menanggung subsidi ini,” katanya ketika ditemui di lawatan kerja ke premis One Stop Super Store di sini, hari ini.

Untuk memastikan keberadaan minyak masak peket polibeg 1kg di pasaran katanya, kerajaan telah mengenakan sekatan pembelian.

Katanya, pengguna hanya dibenarkan untuk membeli 3 peket pada satu-satu masa.

Pada lawatan itu, Nanta berpuas hati bahawa bekalan minyak masak peket
polibeg 1kg amat mencukupi di Sarawak berdasarkan tinjauan pemeriksaan Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP di bandar dan kawasan luar bandar.

Tambah beliau, kekurangan di sesebuah premis peruncit hanyalah bersifat sementara disebabkan kehabisan stok dan peruncit berkenaan sedang menunggu penghantaran baru dari pihak pemborong.

“Sebanyak 60,000 metrik tan sebulan atau 720,000 metrik tan setahun minyak masak bersubsidi diperuntukkan dalam bentuk peket polibeg 1kg.

“Ini bersamaan dengan 60 juta peket 1kg sebulan atau 720 juta peket 1kg setahun. Jika dibandingkan dengan rakyat Malaysia yang berjumlah 32.7 juta orang, bermakna 1.8 kilogram sebulan atau 22 kilogram setahun untuk setiap rakyat,” katanya.

Dari segi kewangan pula kata Nanta, Bajet 2022 memperuntukkan sejumlah RM400juta, tetapi penggunaannya sehingga kini pula sudah mencecah RM2.1billion kerana harga CPO di pasaran dunia. — DayakDaily