Mesin ATM Agro Bank ditempatkan di Gedong Disember ini

Naroden (dua dari kiri) menerima surat kelulusan mesin ATM di Gedong daripada Halek.

KUCHING, 30 Nov: Penduduk di Gedong bakal menikmati perkhidmatan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Agro Bank pada penghujung Disember ini.

Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Naroden Majais berkata, ia selaras dengan dasar kerajaan negeri untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk di luar bandar agar mereka mudah untuk berurusan dengan bank.

“Surat mengenai perkara ini telah diserahkan oleh Pengurus Wilayah Agro Bank Sarawak, Abdul Halek Abdullah kepada saya.


“Menurut Agro Bank, mesin ATM akan beroperasi pada Disember ini,” kata Naroden menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Naroden yang juga Adun Gedong, seunit mesin ATM akan di tempatkan di Anjung Usahawan Gedong.

Ia akan memberi manfaat kepada 7,000 penduduk Gedong serta 4,000 pekerja ladang kelapa sawit.

Dengan wujudnya mesin itu katanya, penduduk tidak perlu bersusah payah untuk ke Serian bagi urusan pengeluaran, penghantaran duit dan menerima bantuan kerajaan.

Dalam pada itu, Halek ketika ditemui berkata, perkhidmatan mesin tersebut adalah keperluan yang sangat tinggi di kawasan Gedong.

Beliau yakin, mesin ATM mampu meningkatkan lagi ekonomi penduduk Gedong kerana bila ada aliran tunai, banyak peluang perniagaan akan wujud.

“Sebagai contoh, kedai runcit memberi peluang pekerjaan untuk penduduk setempat dan itulah yang kami nampak sekaligus menjurus kepada usaha kita untuk membantu masyarakat luar bandar terutamanya di Gedong.

“Kita merancang untuk memasang lebih banyak lagi mesin ATM di tempat -tempat lain yang memerlukan mesin ATM,” kata Halek lagi. — DayakDaily