KUCHING, 9 Julai: Agensi perhutanan Sarawak akan bekerjasama dengan rakan sejawatnya di Sabah dalam pengurusan sumber hutan kearah kelestarian dan tadbir urus yang baik.
Seramai 15 pegawai perhutanan negeri dari Jabatan Hutan Sarawak termasuk Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka), Sarawak Timber Association dan Harwood Timber Sdn Bhd telah melawat Jabatan Hutan Sabah untuk mengkaji perlaksanaan Sabah Timber Legality Assurance System (TLAS).
“Objektif utama lawatan kerja tersebut adalah untuk memperkasakan perlaksanaan inisiatif Sarawak Timber Legality Verification System (STLVS).
“Perkongsian maklumat serta pengalaman berhubung mekanisme perlaksanaan Sabah TLAS dapat dijadikan sebagai penanda aras kepada pengukuhan perlaksanaan STLVS di Sarawak,” kata timbalan Hutan negeri Jack Liam, selaku ketua delegasi lawatan, dalam satu kenyataan media hari ini.
Antara pengisian lawatan kerja selama tiga hari tersebut adalah taklimat mengenai latar belakang dan pelan tindakan TLAS di Sabah, serta taklimat mengenai keberkesanan Sabah TLAS dalam tadbir urus dan pengurusan hutan yang lestari.
Selain itu, turut diadakan perbincangan dua hala berkaitan isu-isu berkaitan perkembangan Sabah TLAS dan STLVS.
Delegasi tersebut turut melawat Inovwood Sdn Bhd di Sandakan, iaitu sebuah kilang pemprosesan kayu yang telah melalui Audit Dalaman dan mendapat Sijil Pematuhan Sabah TLAS.
Selain itu juga peserta-peserta mengadakan lawatan ke kawasan lesen balak iaitu KTS Plantation Sdn Bhd bersama-sama dengan pasukan Unit Audit dalam tentang Sistem Pengauditan Audit Dalam dan Pematuhan Sabah TLAS.
Turut serta dalam lawatan kerja tersebut adalah penolong pengarah Hutan (Bahagian Pencegahan dan Penguatkuasaan) Sulaiman Jamahari dan penolong pengarah Hutan (Bahagian Hasil dan Ekonomi) Latifah Teh. — DayakDaily