Dua penganggur, juruteknik dicekup disyaki terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah

Dadah yang dirampas daripada suspek.

Oleh Dean Adam

BAU, Julai 9: Polis menahan dua penganggur dan seorang juruteknik selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak telah melakukan serbuan tersebut di sebuah rumah di Kampung Daun Sungai Tengah kira-kira 11.30 pagi, semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abdul Latif, berkata ketiga-tiga suspek yang ditahan berusia antara 23 hingga 26 tahun.

Jelasnya, hasil serbuan polis telah merampas dadah disyaki jenis syabu seberat 6.25 gram yang dianggarkan bernilai RM1,000.

“Ketiga-tiga suspek kemudian dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Bau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sahar menambah, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap ketiga suspek didapati positif dadah amphetamine dan methamphetamine.

Katanya, siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek memiliki rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya. — DayakDaily