KUCHING, 1 Mac: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) komited memperkasakan keusahawanan khusus kepada koperasi dan komuniti usahawan wanita dari pelbagai kategori.
Medac menerusi satu kenyataan hari ini berkata, ia dilaksanakan melalui penubuhan Jawatankuasa Induk Keusahawanan Wanita (JIKW) selain turut fokus kepada kategori penjaja kecil.
Jawatankuasa tersebut telah bersidang buat pertama kalinya pada hari ini dan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Datuk Wira Mas Ermieyati Shamsudin.
Kehadiran terdiri daripada wakil-wakil kementerian, agensi, koperasi dan juga persatuan bukan kerajaan (NGO) wanita.
“Platform JIKW dilihat dapat mewujudkan sinergi yang lebih bersepadu, di mana semua pihak bermuafakat dalam mencari pendekatan terbaik.
“Ini bagi memastikan iniasiatif atau program yang dirangka dapat berjalan lancar dengan impak positif kepada golongan sasar iaitu usahawan wanita,” kata Medac.
Menurut kenyataan itu lagi, penjaja kecil tidak dipinggirkan kerana ia semakin berkembang lebih-lebih lagi ekoran pandemik Covid-19.
Jelasnya, ramai telah menceburi perniagaan kecil-kecilan sebagai alternatif menjana pendapatan.
“JIKW juga melihat bahawa institusi koperasi dan NGO juga boleh digarap sebagai platform yang efektif dalam menyalurkan maklumat dan bimbingan kepada kumpulan usahawan wanita.
“Jalinan networking di seluruh negara juga dapat dioptimumkan dan secara tidak langsung dapat membangunkan satu ekosistem pembangunan usahawan yang kondusif,” katanya.
Pemerkasaan usahawan wanita oleh Medac adalah pelengkap kepada pelbagai usaha kerajaan dalam membangunkan ekonomi negara.
Medac percaya, wanita yang berdaya saing dapat berperanan sebagai pemangkin bukan sahaja dari sudut ekonomi bahkan juga dari sudut kesejahteraan rakyat. — DayakDaily