Medac sedia dana RM100 juta lancar Skim Pembiayaan Tanpa Caj

Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (file photo)

KUCHING, 1 Ogos: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) melalui agensinya Tekun Nasional akan melancarkan skim pembiayaan tanpa caj mulai 15 Ogos ini.

Menteri Medac Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bagi pelaksanaan skim berkenaan.

Katanya, ia bagi membantu memulih dan memulakan semula perniagaan mikro yang terkesan ekoran pandemik Covid-19 untuk meneruskan semula perniagaan.


“Seramai 11,500 orang usahawan mikro dijangka akan mendapat manfaat daripada skim pembiayaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan kajian tambah Wan Junaidi, dianggarkan 580,000 perniagaan di bawah perusahaan mikro, kecil dan sederhana akan berhadapan dengan kegagalan perniagaan ekoran daripada pandemik Covid-19.

Justeru, beliau berharap usahawan-usahawan ini mengambil peluang memohon skim pembiayaan yang akan dilancarkan nanti untuk menambah modal perniagaan.

Ini termasuk usahawan mikro di bawah kategori First To Close, Last To Open (FCLO) yang terjejas perniagaan berikutan penutupan operasi.

”Skim Pembiayaan Informal (SPIN) 2.0 dan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro (CBRM) 2.0 yang akan dilancarkan ini adalah penambahbaikan daripada produk sebelumnya.

“Menyedari keperluan usahawan yang mendesak dalam mendapatkan modal, had maksimum pembiayaan produk ini telah ditingkatkan dan tiada caj yang dikenakan,” katanya.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata SPIN 2.0 menyediakan had maksimum pembiayaan sebanyak RM10,000 manakala CBRM 2.0 adalah sehingga RM20,000. — DayakDaily