FAS dan SSC jalin kerjasama bangunkan bola sepak Sarawak

Abdul Karim (tiga dari kiri) pada majlis menandatangani Memorandum Pembangunan Bolasepak Negeri. Turut kelihatan Ong (dua dari kiri) dan Posa (dua dari kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 1 Mac: Majlis Sukan Negeri Sarawak (SSC) hari ini menandatangani Memorandum Pembangunan Bola Sepak Negeri bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak (FAS).

Majlis yang diadakan di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di Petra Jaya itu telah disaksikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Memorandum ini adalah sebagai usaha kita untuk membangunkan sukan bola sepak di semua peringkat di negeri ini.

“Sebelum ini, semua pembangunan berkaitan bola sepak diserahkan kepada FAS. Oleh kerana menjaga pasukan negeri, fokus memastikan pembangunan bola sepak di peringkat remaja, belia dan wanita sering terganggu,” katanya pada satu sidang media yang diadakan selesai majlis tersebut.

Jelas Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, SSC mesti turut sama terlibat di dalam pembangunan bola sepak dan berkerjasama dengan pegawai-pegawai FAS.

Katanya, akademi latihan yang terdapat di Kuching, Bintulu dan Miri harus dimanfaatkan demi melahirkan pemain bola sepak yang bagus.

“Dengan kerjasama di antara SSC dan FAS ini, kita berharap dapat membentuk satu pasukan negeri yang mantap pada masa hadapan,” ujar Abdul Karim.

Pada majlis itu, SSC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Dr Ong Kong Swee manakala FAS diwakili presidennya Datuk Posa Majais. — DayakDaily