MEDAC komited bantu usahawan, koperasi manfaatkan bantuan insentif PEMERKASA

Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (file pic)

PUTRAJAYA, 18 Mac: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bersedia dalam membantu menyalurkan bantuan kepada usahawan dan koperasi menerusi insentif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, MEDAC menyambuat baik pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri semalam dan komited dalam memastikan insentif tersebut dapat dinikmati oleh usahawan dan koperasi terlibat.

Katanya, insentif tersebut yang memberi lima fokus utama program pemulihan dan pemerkasaan ekonomi sepanjang tahun 2021 antara lain akan dapat memberikan suntikan kepada para usahawan dan koperasi untuk meneruskan dan memulihkan aktiviti peniagaan kesan daripada kelembapan ekonomi akibat penularan pandemik Covid-19.


“MEDAC telah mengenalpasti serta menyokong pemberian insentif yang berkaitan usahawan dan koperasi seperti penyediaan dana pembiayaan tambahan sebanyak RM500 juta bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit melalui program-program di bawah BSN, TEKUN, MARA dan SME Corp.

“Selain itu Geran Khas Prihatin atau GKP 3.0, setiap perusahaan mikro dan PKS yang layak akan menerima bantuan one-off sebanyak RM1,000 dan dijangka akan memanfaatkan lebih sejuta usahawan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, TEKUN Nasional akan menyediakan dana tambahan berjumlah RM60 juta untuk Skim Pembiayaan Informal dengan had pembiayaan sehingga RM5,000 bagi perniagaan kecil dan memperluaskan program Tekun Mobilepreneur dengan had pembiayaan sehingga RM10,000 untuk tujuan baik pulih atau membeli motosikal baharu.

Pada masa sama, Wan Junaidi jelas TEKUN juga akan memperkenalkan program TEKUN POS-preneur untuk pemohon dapat menjana pendapatan melalui kontrak penghantaran barangan dengan bantuan pembiayaan sehingga RM20,000 untuk tujuan baik pulih kenderaan serta sehingga RM50,000 untuk pembelian van atau lori.

“SME Corp akan menyediakan RM50 juta untuk membantu PKS tempatan mendapatkan pembiayaan sehingga RM250,000 pada kadar faedah juga serendah tiga peratus, manakala SME Bank akan menyediakan dana pinjaman RM200 juta untuk membiayai pembelian mesin dengan insentif geran sehingga 20 peratus ke atas nilai mesin.”

Wan Junaidi berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan memperuntukkan RM50 juta dari Tabung Modal Pusingan (SKM) bagi menyediakan insentif pembiayaan sehingga RM100 ribu tanpa cagaran bagi membantu koperasi yang terkesan.

Permohonan pembiayaan ini akan dipermudahkan dan proses kelulusan akan dipercepatkan dengan memberi kelonggaran bayaran balik selepas enam bulan pembiayaan diluluskan dan dijangka dapat membantu lebih 14,000 koperasi di seluruh negara.

Katanya, bagai memperkasakan usahawan wanita, dana berjumlah RM30 juta disediakan untuk membantu usahawan terbabit beralih ke pasaran dalam talian.

“Sebagai tambahan, BSN akan akan menyediakan sejumlah RM50 juta bagi Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-NITA untuk memberi galakan usahawanita menceburi bidang perniagaan,” katanya.

Tambah Wan Junaidi, Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) pula akan ditambah peruntukan bagi melahirkan 250 usahawan belia Bumiputera baharu.

Pada masa sama, Program New Gen Entrepreneur Online Bootcamp akan diperkenalkan bagi tujuan penyediaan latihan serta bimbingan perniagaan secara dalam talian kepada 2,000 orang usahawan belia.

“Dengan pengumuman ini diharapkan agar para usahawan dapat meneruskan kelangsungan operasi perniagaan mereka dalam tempoh yang sukar ini,” tambah beliau.