Medac: Kerajaan sedia insentif kepada PKS untuk penggabungan dan pengambilalihan

Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUCHING, 1 Sept: Medac melalui SME Corp Malaysia menyediakan insentif pengecualian duti setem kepada PKS bagi aktiviti penggabungan dan pengambilalihan.

Ia dilaksanakan menerusi kerjasama bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menteri Medac Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, insentif ini dikhaskan kepada syarikat PKS milikan penuh rakyat Malaysia dalam semua sektor termasuk pembuatan, perkhidmatan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian.


“Ianya diwujudkan untuk membantu membina keupayaan syarikat tempatan dan menggalakkan penggabungan antara dua entiti PKS (perusahaan kecil dan sederhana).

“Atau pengambilalihan entiti PKS oleh entiti PKS yang lain untuk menjadi satu entiti perniagaan baharu yang lebih besar melalui suratcara dan kontrak undang-undang,” kata Wan Junaidi menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, kerajaan melihat usaha penggabungan dan pengambilalihan di kalangan PKS ini dapat membantu memperkasakan keupayaan PKS.

Beliau yakin ini mampu mengelakkan berlakunya kemerosotan syarikat kesan daripada penularan wabak Covid-19 dengan memperkukuhkan akses kepada dana dan aset berharga untuk pembangunan baharu.

“Selain itu, aktiviti ini juga memberi peluang kepada entiti perniagaan baharu untuk berkongsi dan mendapatkan pengetahuan dan kemahiran tambahan, serta kakitangan yang berkualiti, di samping mengurangkan kos,” ujar beliau.

Pengecualian duti setem ke atas instrumen bagi aktiviti penggabungan dan pengambilalihan ini merangkumi kos kontrak atau perjanjian untuk penjualan atau pajakan harta tanah, suratcara pemindahan dan memorandum persefahaman, pinjaman atau perjanjian pembiayaan dan perjanjian penyewaan pertama.

Permohonan insentif ini hanya layak bagi PKS yang melaksanakan aktiviti penggabungan dan pengambilalihan dalam tempoh antara 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021 sahaja.

Insentif ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dalam usaha untuk membina keupayaan syarikat tempatan dan menyokong PKS yang terjejas dalam landskap semasa yang mencabar ini.

Borang permohonan insentif ini boleh dimuat turun melalui laman web SME Corp Malaysia di www.smecorp.gov.my dan permohonan perlu dikemukakan selewat-lewatnya pada 31 Julai 2021.

Sebarang pertanyaan berkaitan insentif ini boleh diajukan ke talian ‘hotline’ PSK Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) di 1-300-88-1020 atau talian info SME Corp Malaysia di 1-300-30-6000 atau emel ke info@smecorp.gov.my. — DayakDaily