DAP Serian: Salurkan bantuan kebajikan kepada yang memerlukan

Brolin Nicholsion

KUCHING, 1 Sept: Pengerusi pro tem DAP Serian Brolin Nicholsion menyokong usul perdana menteri untuk menaikkan kadar bantuan bulanan kebajikan daripada RM200-RM300 ke RM1,000 sebulan.

Menurut beliau yang juga penasihat khas MP Bandar Kuching, rakyat disaat ini sangat memerlukan bantuan untuk mengatasi impak pandemik Covid-19.

“Saya sangat memahami keadaan penduduk luar bandar yang terjejas akibat impak pandemik ini kerana mereka hilang sumber untuk menjual hasil mereka,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Brolin juga mengesyorkan kepada kerajaan untuk menyemak semula kelayakan mereka yang memohon bantuan kebajikan agar mereka yang sangat memerlukan sahaja diberi bantuan.

Katanya, sebilangan mereka yang memohon bantuan kebajikan ditolak atas alasan mempunyai anak-anak yang sudah bekerja.

“Hasil tinjauan DAP Serian terhadap golongan B40, kebanyakan mereka mempunyai anak yang banyak tetapi mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap dan banyak yang bergantung dengan gaji hari.

“Ini yang menyebabkan mereka agak sukar untuk membantu keluarga mereka kerana mereka sendiri menghadapi kesukaran untuk mendapatkan nafkah untuk menyara kehidupan mereka seharian,” ujar Brolin.

Justeru beliau berharap, bantuan kabjikan dapat diberikan kepada mereka yang betul-betul memerlukan. — DayakDaily