Mayat warga Indonesia ditemui dalam parit di Kampung Siang Siang Laut

Anggota polis dan kakitangan perubatan berada di lokasi penemuan mayat.

Oleh Brad Rantayy

LAWAS, 29 April: Seorang warga Indonesia ditahan susulan penemuan mayat lelaki di dalam parit sebuah ladang sawit di Kampung Siang Siang Laut di sini pagi Rabu (28 April).

Pemangku Ketua Polis Daerah Lawas, ASP Liong Tindan berkata, penahanan suspek lelaki berusia 32 tahun itu adalah bagi membantu siasatan dalam kes tersebut.


Jelasnya, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Siasatan awal mendapati si mati selalu menganggu isteri suspek dan pernah mengajak isterinya bersetubuh, katanya.

Pada Rabu, mayat mangsa, dikenali sebagai Imran berusia dalam 40-an, ditemui orang awam sekitar 9.30 pagi.

Mayat yang mempunyai kesan luka tetakan pada muka dan badan itu ditemui dalam keadaan berbalut dengan kanvas dan hanya berseluar dalam.

Sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Lawas (JSJ) telah bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima laporan penemuan itu.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Lawas bagi proses bedah siasat, kata ASP Liong ketika dihubungi. — DayakDaily