Mayat mangsa Gunung Tabai berjaya dikeluarkan

Tawang membantu mengangkat mayat mangsa di lokasi
Advertisement

BAU, 26 Mac: Usaha mengeluarkan mayat Martin Mat Tapa yang tertimbus di dalam lubang di Gunung Tabai, berdekatan Kampung Bidi di sini, berjaya dilakukan oleh pasukan penyelamat, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau Tawang Lingem berkata mayat mangsa berjaya dikeluarkan selepas dua jam melalui laluan sempit dan bengkang bengkok.

Beliau memberitahu, mayat mangsa berjaya dikeluarkan dari runtuhan batu pada jam 4 petang dan hanya berjaya dibawa keluar dari dalam lubang tersebut pada jam 6.22 petang.

Advertisement

“Semua anggota badan mayat mangsa berjaya dikeluarkan, namun keadaan mayat mangsa tidak sempurna.

“Pasukan operasi hanya berjaya mengeluarkan mayat mangsa pada jam 6.22 petang kerana kesukaran melalui laluan sempit dan bengkang bengkok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya juga, operasi mengeluarkan mayat mangsa itu disertai oleh 27 orang sukarelawan yang terdiri daripada penduduk kampung.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang.

Mangsa yang berusia 25 tahun serta beralamatkan dari Kampung Bijuray tertimbus pada hari Selasa lepas ketika bersama dua lagi rakannya melakukan kerja-kerja melombong emas.

Dua lagi rakan mangsa berjaya keluar dari dalam lubang tersebut dan terus mendapatkan bantuan. -DayakDaily

Advertisement