1,275 kes jangkitan baru, satu kematian akibat Covid-19 dilapor hari ini

Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 26 Mac: Kes jangkitan baharu Covid-19 di negara ini menunjukkan sedikit pengurangan berbanding semalam dengan 1,275 dilaporan hari ini berbanding 1,360 kes semalam.

Ketua pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Selangor kekal mendomasi kes jangkitan harian tertinggi dengan 478 kes diikuti Sarawak (213 kes) dan Pulau Pinang (137 kes).

“Dengan kes terbaharu dilaporkan pada hari ini menjadikan kumulatif kes positif Covid-19 diseluruh negara kini menghampiri angka 340,000 kes dengan 339,443 kes sehingga hari ini,” katanya menerusi kenyataan harian Covid-19 hari ini.


Katanya, sebanyak 1,509 kes sembuh sepenuhnya daripada wabak berkenaan hari ini menjadikan kumulatif kes sembuh meningkat kepada 323,925 kes atau 95.4 peratus.

Ujarnya, daripada jumlah keseluruhan jangkitan yang dilaporkan hari ini, terdapat 32 kes merupakan kes import yang dikesan mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 1,243 kes tempatan yang dilaporkan hari ini, 78.7 peratus merupakan jangkitan kalangan warga tempatan manakala 21.3 peratus lagi jangkitan dikesan dalam kalangan warga asing.

“Satu kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat covid-19 di seluruh negara meningkat kepada 1,249 kes sehingga hari ini.”

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 161 kes Covid-19 kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 93 kes memerlukan bantuan alat penafasan.

Katanya, ketika ini sejumlah 14,269 kes aktif direkodkan diseluruh negara dengan kebolehjangkitan Covid-19. -DayakDaily