Lelaki warga asing dikhuatiri jatuh Sungai Tabuan, ditemui mati

Pasukan SAR membawa mayat mangsa ke pos kawalan Bomba.

KUCHING, 14 Dis: Seorang lelaki warganegara Indonesia ditemui mati selepas dilaporkan hilang dipercayai terjatuh di Sungai Tabuan berdekatan Samajaya Free Industrial Zone, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa sekitar jam 1.30 pagi.

Katanya, laporan dibuat oleh rakan mangsa selepas usaha mencarinya gagal sejak petang semalam.


“Mangsa disedari hilang ketika bersama rakannya mengangkat jala di sungai tersebut sekitar jam 6 petang dan ketika itu mangsa hanya berada kira-kira 5 meter dari rakannya.

“Rakannya cuba mencari mangsa yang dikhuatiri jatuh ke dalam sungai tersebut tetapi tidak menjumpainya dan terus membuat laporan polis serta memohon bantuan Bomba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan pada jam 7.30 pagi tadi dengan turut disertai pihak polis.

“Pada jam 12.20 tengah hari, mayat mangsa ditemui kira-kira 3 meter dari lokasi mangsa dipercayai jatuh.

“Seterusnya pasukan SAR bertindak menaikan mayat mangsa ke dalam bot dan kemudian dibawa ke pos kawalan Bomba (PKB),” katanya.

Mayat mangsa disahkan oleh rakannya dan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.10 petang. ā€” DayakDaily