Mayat lelaki reput ditemui dalam bilik mandi

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa di Kampung Sebigo, Lundu, malam tadi.

LUNDU, Feb 16: Pasukan Bomba dan Penyelamat Lundu telah melakukan bantuan mengangkat mayat seorang lelaki warga emas yang ditemui mati di dalam bilik mandinya di Kampung Sebigo di sini malam tadi.

Komander Operasi, PBK II Pathi Samsudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung khidmat khas itu dari pihak polis pada pukul 9.09 malam.

Katanya, sejurus menerima laporan itu, lapan anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan khidmat khas mengangkat mayat mangsa.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati mangsa dalam keadaan terlentang dan keadaan mayatnya hampir reput dan berbau.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia lebih daripada 48 jam berdasarkan keadaan mayatnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Pathi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi khas itu tamat sepenuhnya pada pukul 9.43 malam. ā€” DayakDaily