Dua kereta bertembung, dua lelaki maut dalam nahas di Sri Aman

Keadaan kemalangan yang melibatkan dua buah kereta di KM13, Jalan Sri Aman-Sarikei.

SRI AMAN, Feb 16: Akibat hilang kawalan, dua lelaki maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta lain di KM13, Jalan Sri Aman-Sarikei dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 malam itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Shaufik Fazrul Jos, 24, dan Achi Manggi, 75.

Difahamkan, Shaufik merupakan pemandu kereta Perodua Kancil, manakala Achi adalah penumpang kenderaan tersebut.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan itu turut mengakibatkan dua mangsa cedera iaitu pemandu kereta Perodua Kenari, Shedek Morshidi, 34, dan penumpang, Mahidi Mahmud, 38.

Menurut beliau, nahas itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Shaufik yang sedang dalam perjalanan dari arah Betong ke Sri Aman hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Situasi itu mengakibatkan kereta Perodua Kancil yang dipandu mangsa bertembung dengan sebuah kereta Perodua Kenari.

“Impak pertembungan kuat itu menyebabkan kenderaan tersebut remuk teruk selain mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan adalah lurus, berturap dan terdapat garisan tengah berkembar.

Katanya, cuaca adalah baik dan tempat kejadian adalah gelap kerana tiada lampu jalan di kawasan berkenaan.

“Mayat kedua-dua mangsa sudah dibawa ke Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily