Mayat lelaki mereput ditemui di Sungai Salak

Mayat dimasukkan ke kenderaan polis untuk dihantar ke HUS.

KUCHING, 22 Mac: Mayat seorang lelaki dalam keadaan tidak sempurna ditemui di tepi Sungai Salak di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Merbin Lisa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat tersebut pada jam 1.21 petang.

Katanya, anggota pasukannya terus ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mayat tersebut merupakan seorang lelaki dalam keadaan tidak sempurna dan mereput.

“Mayat juga disyaki telah meninggal dunia melebihi 72 jam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Pihak polis mengesa individu yang kehilangan ahli keluarga dalam tempoh 72 jam yang lepas diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Kes tersebut setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). — DayakDaily