KUCHING, 28 Mac: Mayat seorang lelaki yang dipercayai jatuh dari Jambatan Satok berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sekitar jam 8.42 pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa yang berusia 27 tahun itu ditemui kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.
“Operasi hari ketiga pada hari ini bermula pada jam 7 pagi tadi dan lebih kurang jam 8.42 pagi pasukan SAR berjaya menemui mayat mangsa.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi SAR tersebut ditamatkan pada jam 9 pagi tadi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dalam kejadian pada petang Jumaat lalu, mangsa yang menaiki kenderaan jenis Proton Wira telah memberhentikan kenderaan di Jambatan Satok serta bertindak memanjat pagar sebelum terjatuh ke dalam sungai.
Menurut saksi kejadian, mangsa yang cuba berenang dihanyutkan arus deras sebelum tengelam pada jarak kira-kira 20 meter dari lokasi beliau (mangsa) dilaporkan jatuh. — DayakDaily