Lelaki dilaporkan hilang ditemui mati di Jalan Kong Phin

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

KUCHING, 20 Jan: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Jalan Kong Phin, di sini ditemukan meninggal dunia hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mayat mangsa dijumpai di dalam hutan berdekatan pada jam 9.30 pagi tadi.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia selepas diperiksa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


“Isteri mangsa melaporkan mangsa tidak pulang ke rumah lebih daripada 24 jam dan setelah mendapatkan maklumat mangsa dan lokasi terakhir dia dilihat, pasukan Bomba terus memulakan pencarian.

“Pencarian hanya mengambil masa 15 minit sebelum menjumpai mangsa yang berada dalam keadaan telungkup dan tidak sedarkan diri di hutan berdekatan.

“Pihak KKM mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat jejadian dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun.

Setelah selesai operasi di lokasi kejadian, pasukan Bomba kemudian berangkat balik ke balai. — DayakDaily