Lelaki dikhuatiri dibaham buaya ketika cari udang ditemui

Mayat mangsa dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakkan selanjutnya.

MUKAH, 7 Mac: Seorang lelaki, berusia 52 tahun, di Kampung Kuala Oya di sini yang dilaporkan hilang ketika menangkap udang semalam berjaya ditemui awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa ditemui oleh penduduk kampung sekitar jam 5 pagi tadi.

“Mangsa telah di jumpai oleh penduduk kampung di Kampung Senau iaitu kira-kira dalam radius lapan kilometer daripada Pusat Kawalan Operasi Bomba bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Dengan penemuan mayat mangsa pagi tadi Ops SAR mangsa telah ditamatkan dan mayat mangsa dibawa ke hospital Dalat untuk tujuan bedah siasat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sampan yang digunakan mangsa ketika menjalankan aktiviti menangkap udang.

Dalam kejadian semalam, mangsa tersebut dilaporkan hilang oleh adiknya selepas ada orang kampung memberitahu melihat sampan mangsa yang hampir karam dengan mangsa tidak berada di dalam perahu berkenaan.

Situasi itu menyebabkan adik mangsa khuatir mangsa telah dibaham buaya ketika dia (mangsa) sedang melakuklan aktiviti mengangkap udang di Sungai Oya.

Operasi  SAR mangsa telah diaktifkan semalam dan pencarian dilakukan sekitar 500 meter radius dari jarak sampan mangsa ditemui. — DayakDaily