Mayat lelaki terjun sungai ditemui tersangkut pada pukat nelayan

Anggota Bomba mengangkat mayat mangsa yang tersangkut pada pukat nelayan.

SIMUNJAN, 13 Feb: Mayat seorang lelaki yang terjun ke Batang Sadong selepas dilaporkan bergaduh dengan seorang lelaki lain berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sekitar jam 12.51 tengahari tadi.

Jurucakap Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa, 30, ditemui tersangkut pada pukat nelayan oleh penduduk kampung.

“Mangsa telah di bawa ke pangkalan feri Sungai Buloh untuk pengesahan oleh kakitangan perubatan yang berada di Pusat Kawalan Operasi Bomba dan anggota keluarga mangsa sebelum mayat mangsa di serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Dalam kejadian malam Khamis lalu, mangsa dikatakan lari ke arah Pengkalan Feri Sungai Buloh untuk bersembunyi bagi mengelak daripada kepungan orang kampung sebelum bertindak terjun ke Sungai Sadong.

Walaupun cuba diselamatkan oleh beberapa orang yang sedang memancing di lokasi kejadian namun mangsa terus berenang dan tidak dapat dipastikan kemana arah mangsa dibawa arus sungai.

Katanya, pencarian pada malam Khamis lalu dilakukan pada jarak radius 700 meter arah hilir sungai daripada lokasi mangsa dilaporkan terjun.

Bagaimanapun, hanya kesan tapak kaki dipercayai milik mangsa  ditemui yang disyaki ketika mangsa naik ke daratan berdekatan pangkalan feri lama Sungai Buluh namun kelibat mangsa masih tidak dijumpai.

Operasi SAR diaktifkan semula pagi tadi selepas pihak JBPM menerima maklumat baharu mengenai laporan kehilangan mangsa daripada pihak polis. — DayakDaily