Mayat lelaki ditemui di ruang tamu ‘bilik’ rumah panjang di Lepong Ajai

PDRM logo

Oleh Brad Rantayy

MARUDI, 16 Ogos: Mayat seorang lelaki ditemui di ruang tamu ‘bilik’ sebuah rumah panjang di Lepong Ajai, Sungai Liam Baram pada malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Marudi DSP Mohd Ruslan Mat Kib berkata, penemuan dilakukan oleh isteri si mati sekitar jam 8.50 malam sebaik sahaja pulang dari aktiviti gotong royong bersama penduduk rumah panjang berkenaan.


Beliau menambah, sebelum kejadian, si mati yang berusia 24 tahun dan isterinya telah bersama-sama penduduk rumah panjang tersebut melakukan kerja gotong royong di sekitar kawasan, namun, si mati telah balik awal ke ‘bilik’ mereka sekitar jam 8 malam.

“Sekitar jam 8.50 malam, isteri si mati balik dari tapak dan tiba di rumah panjang dan ketika membuka pintu dan masuk ke ruang tamu, dia telah terkejut dengan penemuan itu,” ujarnya.

Mohd Ruslan berkata dengan bantuan jiran, lelaki berkenaan dihantar ke Klinik Kesihatan Haji Openg di Bekenu dan telah disahkan meninggal di klinik tersebut.

Mayat kemudiannya telah dihantar ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut.

Kes diklasifikan sebagai mati mengejut dan polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah setakat ini, kata Mohd Ruslan.

Hasil siasatan lanjut, mendapati si mati bersama isterinya baru sahaja pindah ke rumah panjang tersebut selepas kedua ibu bapa dan adiknya meninggal dalam satu kemalangan jalan raya pada Jun tahun ini. — DayakDaily