Agong lantik Muhyiddin sebagai ‘caretaker Perdana Menteri’

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUCHING, 16 Ogos: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima surat peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri berkuat kuasa pada hari ini.

Susulan daripada itu, Seri Paduka Baginda yang menerima menghadap Muhyiddin di Istana Negara telah berkenan supaya beliau (Muhyiddin) menjalankan tugas sebagai ‘caretaker Perdana Menteri’ sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, ini adalah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.


“Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri,” katanya.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh pada jam 11.00 pagi di Istana Negara.

Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima sembah maklum daripada Abdul Ghani bahawa sehingga 10 Ogos 2021, daripada sejumlah 613 kawasan Dewan Undangan Negeri sebanyak 484 kawasan (79 peratus) adalah zon merah Covid-19.

Menurut Ahmad Fadil, Seri Paduka Baginda turut mengambil maklum bahawa fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.

“Justeru, pada hemat Seri Paduka Baginda, pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat,” katanya. — DayakDaily