Mawan sampaikan sumbangan pakaian seragam sekolah kepada pelajar di Pakan

Mawan (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan keseluruhan RM100,000 Yayasan Sarawak melalui program bantuan pakaian seragam sekolah.

KUCHING, 26 OGOS: ADUN Pakan Tan Sri William Mawan semalam menyampaikan bantuan pakaian seragam sekolah kepada murid-murid sekolah yang layak di Daerah Pakan.

Ia merupakan sumbangan Yayasan Sarawak bagi tujuan meringankan beban kewangan para ibu bapa terutama golongan yang kurang berkemampuan.

“Yayasan Sarawak sangat memahami beban yang ditanggung oleh setiap ibu bapa untuk menyediakan pakaian seragam yang lengkap kepada anak-anak.

“Program merupakan dasar keperihatinan untuk membantu dalam menyediakan keperluan pakaian seragam,’kata Mawan pada ucapan di majlis tersebut.

Menurut beliau, Yayasan Sarawak pada tahun ini sekali lagi menyalurkan bantuan yang serupa kepada semua murid yang layak dengan nilai RM200 untuk setiap murid.


Program ini memperuntukkan baucar RM200 kepada setiap murid yang layak untuk digunakan ibu bapa membeli pakaian seragam.

Dalam pada itu, Mawan berpesan agar murid-murid memanfaatkan sepenuhnya peluang menimba ilmu pengetahuan ketika di bangku persekolahan.

“Jadikanlah sekolah sebagai tempat menimba ilmu, membina pengalaman, membentuk bakat dan mengasah daya kepimpinan kerana anda adalah aset negara yang bernilai pada masa hadapan.

“Sayangi diri, hormati ibu bapa, guru-guru dan masyarakat, berusahalah menjadi yang terbaik,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Residen Sarikei Abang Porkan Abang Budiman dan Penolong Pegawai Daerah Pakan Yalin San.—DayakDaily