Maut disambar kilat

Mangsa disahkkan meninggal dunia di tempat kejadian.

KUCHING: Seorang lelaki terbunuh dipercayai akibat disambat kilat di tapak pembinaan di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub, Petra Jaya sekitar jam 2.30 petang semalam.

Mangsa ialah Nasion Raby Tagik berusia 26 tahun dan berasal dari Rumah Jengging Sungai Lajan, Song.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata mangsa semasa kejadian bersama bapa mertua serta seorang lagi pekerja sedang memasang besi perangka bangunan yang dalam pembinaan di tingkat satu.

“Tiba-tiba mangsa dikatakan disambar kilat di bahagian kepala.

“Ketika kejadian bapa mertua dan rakan sekerja mangsa berada berdekatan dan berjaya menahan mangsa daripada jatuh ke bawah,” katanya semalam.

Tambahnya juga, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya,” katanya

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).